fbpx

Bermula dengan Zuraida, 10 lagi bakal menyusul – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin.

PETALING JAYA – Tindakan undang-undang ke atas 10 lagi Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti pada Februari 2020 akan menyusul selepas ini.

Amaran itu dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin dikenakan tindakan undang-undang hari ini.

Menurut beliau, pihaknya yakin akan memperoleh kejayaan sama sekiranya tindakan undang-undang dilakukan ke atas 10 Ahli Parlimen yang membentuk blok bebas sebelum ini.

“Kami mulakan dengan Zuraida. Kami menang, langkah seterusnya ialah ke atas MP (Ahli Parlimen) Keadilan lain yang ikut keluar (parti). Fakta kes sama, Insya-Allah peluang menang cerah!.

“Pengajarannya usah khianat. Gembiranya hanya sementara bukan sedikit penyokongnya sekarang mohon nak masuk parti semula. Maaf ya, masuk parti bukan macam bersalin baju,” tulisnya di Facebook hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan PKR boleh menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana keluar parti selepas menggunakan nama dan logo parti itu ketika bertanding.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian atas alasan bon yang ditandatangani bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah satu kontrak yang mengikatnya.

Menurut saman yang difailkan pada 28 September 2020, PKR mendakwa Zuraida menandatangani bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Terdahulu, pada Februari 2020, 11 Ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 ketika itu tumbang.

Selain Zuraida, 10 lagi Ahli Parlimen yang keluar parti ketika itu adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Abdullah, Baru Bian dan Datuk Kamaruddin Jaffar.

Turut terlibat, Datuk Mansor Othman, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI