fbpx

Berang rangka motosikal dijual, anak hentak kepala bapa guna mangkuk besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kepala Zulkifli berlumuran darah selepas dihentak dengan mangkuk besi mesin pengisar adunan tepung di rumahnya di Kampung Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Hanya kerana berang bapanya menjual rangka motosikal miliknya, seorang anak sanggup menghentak kepala mangsa menggunakan mangkuk besi mesin pengisar adunan tepung dalam kejadian di Kampung Bechah Keranji, Peringat, di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mengakibatkan mang­sa, Zulkifli Mohamad, 54, me­nerima tiga jahitan pada dahi.

Selain dihentak, anak lelaki­nya yang berusia 20 tahun turut menendang dan menumbuk bapanya ketika mereka bergelut di dalam sebuah bilik.

Zulkifli mendakwa, anaknya berang selepas mendapati rangka motosikal jenis Modenas Kriss miliknya yang disimpan di dalam stor rumah sudah tiada.

Katanya, sebelum ini anaknya itu sering menjual barangan di dalam stor rumah seperti enjin motosikal dan sangkar kucing secara dalam talian.

“Saya pernah memarahinya kerana sering menjual barangan di rumah ini. Apabila saya menjual rangka motosikal yang ada di dalam stor, dia pula marah dengan tindakan saya.

“Pada awalnya, dia marah sebelum menendang dan menumbuk saya. Dia kemudiannya bergegas keluar mengambil besi mesin pengisar adunan tepung lalu menghentak peralatan itu ke dahi saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Zulkifli diziarahi jiran ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Peringat, Kota Bharu kelmarin.

Menurut Zulkifli yang turut menghidap angin ahmar berkata, selepas kepalanya berlumuran darah, anaknya terus melarikan diri dengan memandu sebuah kereta.

Katanya, dia terus bergegas keluar dari rumah untuk me­minta pertolongan jiran supaya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Peringat, di sini.

“Anak perempuan jiran membantu menghantar saya ke klinik selepas melihat muka saya berlumuran darah.

“Selepas rawatan di Klinik Kesihatan Peringat, saya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira pukul 10 pagi tadi (semalam),” ujarnya.

Zulkifli memberitahu, sebelum ini, dia dan anaknya pernah bertumbuk selepas berselisih faham, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI