MASALAH bantut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini telah menjadi satu isu yang sering diperbincangkan terutama dalam kalangan pakar penjagaan kesihatan.
Dalam usaha menangani masalah ini, Bulan Pemerhatian Tumbesaran (Growth Watch Month) telah dirasmikan baru-baru ini bagi mengumpulkan usaha sama para pakar penjagaan kesihatan dan ibu bapa untuk mencegah masalah tersebut.
Dengan ini, ia akan membolehkan kanak-kanak dan remaja mencapai potensi pertumbuhan optimum untuk masa depan yang lebih cerah.
Kempen tahunan ini diperkenalkan di seluruh negara oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) di bawah program IMFeD For Growth yang telah bermula sejak tahun 2012.
Bulan Pemerhatian Tumbesaran ini dilancarkan secara rasmi oleh MPA bersama-sama dengan rakan kongsinya iaitu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Tadika Malaysia (PTM) dan Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM).
Pengerusi Program IMFeD For Growth, Prof. Dr. Lee Way Seah berkata, Bulan Pemerhatian Tumbesaran ini didedikasikan untuk mengenal pasti kanak-kanak dan remaja yang terbantut atau berisiko mengalami masalah tersebut.
Menurutnya, melalui pelaksanaan aktiviti yang berkaitan, penganjur akan menasihati ibu bapa tentang intervensi pemakanan yang bersesuaian dan sokongan yang diperlukan untuk mengembalikan tahap pertumbuhan anak yang optimum.
“Walaupun kebanyakan kanak-kanak dan remaja Malaysia membesar secara normal, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak kekal menjadi suatu kebimbangan.
“Pada usia lima tahun, kanak-kanak sepatutnya mencapai 60 peratus daripada ketinggian dewasa mereka,” katanya.
Malangnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, sebanyak 21.2 peratus atau satu dalam lima kanak-kanak mengalami masalah bantut.
Selain itu, NHMS 2022 juga melaporkan bahawa 6.8 peratus daripada remaja kita mengalami masalah bantut.
Individu-individu ini tidak mencapai puncak pertumbuhan yang sepatutnya, iaitu 15 hingga 20 peratus hampir dengan potensi ketinggian dewasa mereka. Kesan jangka pendek dan jangka panjang daripada masalah bantut adalah jelas.
Kanak- kanak yang terbantut lebih cenderung untuk jatuh sakit lebih kerap, terlepas peluang dalam pembelajaran sehingga menjejaskan prestasi di sekolah dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.
Mereka juga berisiko mengalami pembantutan ketika dewasa yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kronik, penurunan produktiviti ekonomi dan potensi pendapatan seumur hidup yang lebih rendah.
Sementara itu, Dr. Way Seah mengingatkan supaya kita perlu mengatasi masalah pembantutan ini dari awal.
“Masalah ini sentiasa bermula dengan pertumbuhan yang terbantut, apabila kanak-kanak tidak menerima pemakanan yang mencukupi sehingga memperlahankan kadar pertumbuhan mereka.
“Tanpa tenaga, protein, lemak dan mikro nutrien yang mencukupi, termasuk kalsium, vitamin D dan sebagainya, pembentukan tulang dan otot mereka tidak dapat berlaku pada kadar yang sihat,” jelasnya.
Dalam pada itu, tumbesaran terbantut boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada di peringkat kanak- kanak mahupun remaja dan kebiasaannya berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari.
Dari semasa ke semasa, kanak-kanak bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa yang optimum, malah mereka akan kekal bantut ketika dewasa dan menghadapi kesulitan yang ketara sepanjang hayat.
Dr. Way Seah menegaskan bahawa pertumbuhan optimum hanya boleh dicapai apabila wujudnya asas-asas tertentu seperti amalan pemakanan yang baik, nutrisi lengkap, aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan umur dan pemantauan pertumbuhan yang kerap dari usia muda.
“Kami juga galakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang berumur satu hingga 17 tahun mendapatkan pemeriksaan tumbesaran daripada pengamal kesihatan yang telah dilatih untuk menggunakan pendekatan M-I-M kami,” terangnya.
Langkah ini melibatkan pengukuran berat dan ketinggian kanak-kanak yang diplot pada carta pertumbuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan sama ada tumbesaran kanak-kanak dalam justifikasi normal, berisiko atau terbantut.