MENGENALI satu sama lain sejak lebih 10 tahun lalu ketika sama-sama rancak menggauli karier nyanyian, membuatkan ahli kumpulan Girls’ Generation, Yoona dan Junho (2PM) tidak kekok ‘bersanding’ dalam sebuah naskhah klasik romantik komedi, The King Land.
Pertama kali digandingkan membawa watak pasangan kekasih, namun kemesraan hubungan terbina secara tidak langsung memudahkan Yoona dan Junho mencapai keserasian di depan kamera.
“Naskhah ini merupakan projek pertama saya dengan Junho. Saya gembira bila dapat tahu dia akan jadi hero dalam drama komedi romantik ini.
“Kami kenal secara profesional sejak sama-sama muda. Jadi seronoklah, kami selalu berborak tentang kenangan-kenangan lama semasa aktif dalam bidang nyanyian.
“Sejujurnya saya rasa kembali ke usia muda kerana kami kenal semasa betul-betul masih remaja. Jadi memang tiada masalah untuk kami capai keserasian.
Begitu juga Junho yang mengakui dirinya agak introvert. Dia berasa selesa dan senang bergandingan dengan Yoona yang disifatkan seperti rakan sekolah.
“Selalunya setiap kali masuk ke lokasi penggambaran baharu, saya banyak diam. Tapi di set ini, keberadaan Yoona membuatkan saya rasa tenang dan sangat selesa. Perasaannya seperti jumpa kawan sekolah. Kami asyik berbual dan ketawa.
“Kami memang penyanyi tapi di lokasi penggambaran kami bukan diri kami sebaliknya terus berubah menjadi watak masing-masing,” ujarnya.
Suara Junho bantu Yoona
Semasa sidang media The King Land baru-baru ini, cara sebutan dialog Junho diakui Yoona sangat mendalam. Pandangan mata lelaki itu juga sangat membantu dirinya membawakan watak Cheon Sarang dengan baik.
Tambahnya lagi, Im Hyun-wook sebagai pengarah juga sangat terbuka dan senang berbincang mengenai naskhah berkenaan.
“Keserasian peranan utama sangat penting dalam drama bergenre komedi romantik ini.
“Kami banyak berbincang tentang adegan, apa yang ingin kami tampilkan depan kamera dan fokus kami adalah hubungan dua karakter ini.
“Pengarah buat kami selesa untuk berbincang. Malah ketika berlakon, pandangan mata antara kami sangat penting. Suaranya yang ‘berat’ membantu saya untuk menghayati watak,”ujarnya.
Sementara itu, Junho mengakui banyak menghabiskan masa berbincang dengan pengarah bagi mendapatkan kelancaran rakaman sesuatu babak dan akhirnya meninggalkan kesan kepada penonton.
Situasi tersebut menyenangkan dan memberi kebebasan kepadanya dalam menjayakan projek berkenaan.
“Setiap kali waktu rehat kami akan berbincang dengan pengarah tentang bagaimana untuk membina karakter dan dia sangat membantu.
“Projek ini membuatkan saya rasa istimewa dan bangga menjadi sebahagian daripada The King Land,” ujarnya.
Pilih naskhah ringan
Berkongsi tentang pemilihan naskhah yang dianggap ringan, kedua-dua pelakon ini mengakui mahu lebih santai selepas terlibat dalam sebuah genre drama yang berat sebelum ini.
“Sebelum ini, Big Mouth sebuah naskhah yang agak berat, jadi saya mahu cuba beralih ke arah sesuatu yang lebih ringan, gembira dan mengujakan.
“Watak saya tak berat, seperti menjadi diri sendiri sahaja,” ujar Yoona.
Selepas berjaya membawakan watak seorang raja dalam drama penuh emosi, Red Sleeve, Junho akui selesa dengan drama yang santai dan mudah diterima.
Biarpun drama tersebut penuh gelak ketawa dan gembira, Junho masih perlu menahan diri daripada tersenyum gara-gara wataknya agak serius.
“Saya seorang yang suka tersenyum, jadi cabaran buat saya ialah menahan senyum. Tapi bila pengarah kata ‘cut’ sahaja, saya akan ketawa kerana tidak tahan nak kawal senyuman sepanjang masa,” ujarnya.
20 tahun ketinggalan
The King Land terbitan JTBC yang turut disiarkan menerusi platform Netflix setiap Sabtu dan Ahad bermula pada 17 Jun lalu sebenarnya menerima kritikan hebat.
Rata-rata penonton menganggap drama berlatarkan kerjaya perhotelan sebagai ketinggalan zaman.
Ada yang menganggap skrip yang dilontarkan seolah-olah berada dalam latar 20 tahun lalu.
“Naskhah ditulis dengan cara yang sangat buruk seperti menonton drama tahun 2000. Terlalu klise seperti menonton drama lama. Saya seperti menonton drama 20 tahun lalu dengan revolusi tinggi,” ujar netizen.
King The Land mengisahkan Guwon (Junho) seorang lelaki kaya sekaligus pewaris hotel besar bernama King Group.