PASANGAN adik beradik yang juga pemain profesional berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal serta Wan Kuzri Wan Kamal bersedia untuk mewakili skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil pada masa akan datang.
Pendedahan tersebut disuarakan oleh ayah kandung mereka, Wan Kamal menerusi komen di laman sosial Facebook baru-baru ini yang menyatakan anak-anaknya sudah terbuka untuk menyarung jersi pasukan kebangsaaan.
Cuma, Wan Kamal mengakui untuk beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) agak sukar dan mereka lebih berminat untuk kekal berpangkalan dalam saingan liga domestik di Amerika Syarikat.
“Semua kena faham seperti cabang sukan lain, bola sepak profesional adalah karier yang perlukan aksi kompetitif. Saya percaya Wan Kuzain dan Wan Kuzri akan kekal bersaing dalam kelab di AS.
“Namun, jika mereka juga tidak mempunyai masalah jika mendapatkan ruang serta peluang untuk mewakili skuad Harimau malaya pada masa akan datang. Sudah tentu mereka gembira untuk menyumbangkan sesuatu buat pasukan kebangsaan,” katanya.
Sebagai rekod, nama Wan Kuzain, 25, pernah menggemparkan negara sebelum ini kerana dianggap sebagai prospek masa depan skuad Harimau Malaya selepas dianggap sebagai salah seorang pemain muda terbaik yang dilahirkan negara Uncle Sam itu.
Sementara itu, Wan Kuzri, 21 pula pernah beberapa kali menyahut panggilan kebangsaan bagi skuad bawah 22 (B-22) negara sebelum ini ketika pasukan dibimbing pengendali import, Brad Maloney.
Ketika ini Wan Kuzain mewakili kelab St. Louis City SC manakal Wan Kuzri pula beraksi dengan Saint Charles SC dalam Liga USL 2.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon masih segar dengan kejayaan meraih kemenangan bergaya 10-0 ke atas Papua New Guinea pada aksi persahabatan, Selasa lepas. – KOSMO! ONLINE