SEBAGAI seorang penjunjung jenama The Flash, terbit rasa gembira, berbangga dan semestinya berpuas hati dengan terjemahan karya standalone tersebut selepas terlunasnya tontonan, baru-baru ini.
Durasi 144 minit bergulir dengan penuh rasa positif menandakan bahawa naskhah arahan Andy Muschietti itu tidak langsung mengecewakan.
Pertama sekali, betapa cermatnya perjalanan atau plot penceritaan filem berdasarkan komik DC kali ini.
Cermat sampaikan penulis sendiri merasakan tiada cela yang ingin ditempelkan dalam ulasan.
Dari segi jalan cerita, The Flash layak diberikan markah cemerlang. Kalau 10 adalah markah maksimum, 8 atau 9 markah yang ingin diberikan.
Multiverse versi DC Benar, multiverse, alam berbilang, nekamesta atau multiversum adalah perihal paling klise yang dijadikan bahan ‘pertunjukan’ dunia adiwira, namun ternyata, DC tidak salah percaturan dalam The Flash kali ini.
Watak disandang Ezra Miller sebagai Barry Allen atau The Flash sangat membuatkan audiens ingin mengetahui apa yang berlaku dari masa ke masa dalam filem.
Allen ingin mengubah realiti kehidupan dengan menggunakan Speed Force membawanya ke masa
lampau.
Dia ke alam ibunya masih hidup dan cuba memperbetulkan apa yang dirasakannya salah. Namun, setiap tindakan ada akibatnya.
Itulah malapetaka yang dialami Allen apabila tidak mendengar nasihat daripada orang yang terlebih dahulu ‘makan garam’ iaitu Batman atau Bruce Wayne.
Tolak tepi tentang kes mahkamah melibatkan Miller. Barry Allen hasil terjemahannya memang top-tier!
Dari segi jenaka, aksi, emosi dan perihal penting lain, dia berjaya dengan sejayajayanya.
Ezra Miller The Flash hebat!
Miller bukan hanya memainkan satu watak, namun beberapa karakter yang pastinya membuatkan audiens ternganga dengan dampak positif ditinggalkannya.
Sementara itu, Michael Keaton sebagai Bruce Wayne atau Batman layak didendang sebagai Most Valuable Primate (MVP).
Mengapa? Jawapannya perlu digali sendiri dalam The Flash yang sedang ligat ditayangkan di pawagam.
Satu lagi karakter yang membuatkan adrenalin terus menderas adalah watak Kara Zor-El atau Supergirl yang dijayakan Sasha Calle. Sangat ‘bergaya’ dan mempunyai karisma tersendiri memegang watak sepupu kepada Superman itu.
Villain utama dalam The Flash iaitu General Zod juga tidak kurang hebatnya, namun secara peribadi, impak ditinggalkannya kurang diingati atau menonjol.
Zod hanya betul-betul ‘keluar’ sekitar bahagian third act atau klimaks.
Secara totalnya, The Flash terkandung bermacam-macam nuansa atau kualiti positif tidak wajar dilepaskan penonton di wayang.
Lelucon, aksi mendebarkan, semangat setiakawan, nilai keluarga, elemen inklusif, semuanya diadun cemerlang.
Ezra Miller mungkin seorang pelakon yang banyak sensasi, namun satu perkara yang tidak boleh dinafikan, dia adalah The Flash yang faham ‘assignment’ dan melunaskan dengan secemerlang mungkin.
The Flash, satu lagi karya DC yang bermarkah cemerlang atau standard A!