PETALING JAYA – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Taiwan 2023 selepas menewaskan Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di pusingan kedua hari ini.
Tang Jie-Ee Wei, No.19 dunia, tidak berdepan masalah besar untuk menumbangkan lawan dari Thailand yang menghuni ranking ke-39 dunia itu pada aksi yang berlangsung di Arena Tian-mu, University of Taipei.
Pasangan yang baru sahaja tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu, cuma mengambil masa 27 minit untuk merakam kemenangan straight-set 21-13, 21-13.
Di suku akhir esok, mereka akan bertemu beregu tuan rumah, Yang Po-hsuan dan Hu Ling-fang selepas menewaskan rakan senegara, Lee Jhe Heui-Hsu Ya Ching dengan keputusan 14-21, 21-19, 21-18.
Turut mengikut jejak Tang Jie-Ee Wei ke suku akhir esok adalah Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing selepas menewaskan pasangan dari Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Lee Yu Lim 19-21, 21-16, 21-14.
Bagaimanapun, tugas mencabar menanti beregu campuran No.41 dunia itu kerana perlu berdepan pilihan kelima kejohanan di ranking ke-23 dunia dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin di suku akhir esok.
Pemain perseorangan lelaki yang berada di ranking ke-139 dunia, Yeoh Seng Zoe turut cemerlang apabila mencipta kejutan menumbangkan jaguh Jepun (No.14 dunia), Kanta Tsuneyama 21-19, 21-15.
Namun, seorang lagi wakil pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei gagal meneruskan kemaraan apabila disingkirkan Ng Ka Long dari Hong Kong 21-14, 21-13. – KOSMO! ONLINE