JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Sumatera Utara menyerah diri kepada polis selepas menetak isterinya dan seorang jiran lelaki selepas menangkap mereka berdua-duaan di dalam bilik air, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Isteri suspek, A, 30, mengalami kecederaan di kepala, bahu dan tangan, manakala lelaki yang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita itu, ZAC, 26, cedera juga di kepala dan tangan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Dairi, Rismanto J Purba berkata, suspek sudah mengesyaki kecurangan isterinya sejak 27 Mei lalu.
“Dia dan isterinya berada di Rantau Prapat. Dia mendapati wanita itu bertukar mesej mesra dengan jiran lelaki itu seperti ‘tidakkah kau rindukan saya,” kata Rismanto.
Si suami terus bersemuka dengan lelaki itu. Dia menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp dan ZAC membalas dengan permohonan maaf.
Semalam, si suami keluar rumah untuk mengambil air nira pokok kelapa dengan membawa parang. Setengah jam kemudian dia pulang ke rumah.
“Suspek mula curiga apabila melihat pintu dapur rumahnya terbuka dan teringat perbualan intim isterinya dengan lelaki itu,” kata Rismanto.
Suspek semakin curiga ketika dia mendengar suara lelaki dan wanita di bilik air. Ketika hendak masuk, pintu terkunci lalu dia menendangnya.
“Isterinya dan lelaki itu ditemui menghadap satu sama lain pada jarak setengah meter sambil membongkok dan membetulkan seluar masing-masing,” tambahnya.
Suspek segera mengayunkan parang lalu menyerang isterinya dan lelaki itu secara membabi buta sambil memaki hamun mereka.
“Selepas menetak dua mangsa yang terbaring berlumuran darah, suspek menghubungi ketua kampung dan meminta mereka membawanya ke balai polis,” jelasnya. – Agensi