LUMUT – “Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) adalah peluang kedua untuk saya memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lalu.”
itu kata Zulkifly (bukan nama sebenar), 20, salah seorang daripada 20 pesalah kanak-kanak, muda dan dewasa yang menjalani PKM dengan melakukan aktiviti pembersihan pantai peranginan Teluk Batik, di sini hari ini.
Menurutnya, nafsu yang gagal dikawal menyebabkan dia terlibat dalam kes rogol di bawah umur ketika menetap di Perlis, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman menjalani PKM selama 120 jam bermula April lalu sehingga September depan.
“Selepas dijatuhi hukuman, saya berpindah ke rumah ibu saudara di Sitiawan di sini, Alhamdulillah kini kehidupan lebih terjaga berbanding ketika berada di negeri asal.
“Saya ingin melupakan kesilapan lalu dan pasangan saya (teman wanita bawah umur ketika kesalahan dilakukan) pun sudah berkahwin dengan orang lain,” katanya yang ingin meneruskan kehidupan dalam bidang automatif apabila selesai menjalani hukuman tersebut.
Seorang lagi pesalah juvana, Nazrin, 20, (bukan nama sebenar), yang berasal dari Bagan Serai, juga disabitkan kesalahan rogol di bawah umur, mengaku menyesal melakukan perbuatan tersebut.
Dia yang diperintahkan menjalani PKM selama 100 jam bermula Februari lalu hingga bulan depan, berhasrat melupakan kisah silam dengan menceburi diri dalam bidang masakan di sektor perhotelan.
“Sebaik selesai menjalani hukuman ini, saya bercadang untuk mengikut jejak bapa saudara yang kini menjadi chef di sebuah hotel di Pahang.
“Apa yang saya fikirkan sekarang ialah membantu menyara keluarga terutama ibu yang juga ibu tunggal,” kata anak keempat daripada lima adik beradik itu yang turut melakukan PKM membersihkan rumah penduduk miskin, di Bagan Serai.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak dan PKM Perak, Anuar Che Mahmud, berkata aktiviti pembersihan di Teluk Batik itu dilakukan 11 pesalah muda iaitu berusia antara 18 hingga 21 tahun, lapan pesalah kanak-kanak (di bawah 18 tahun) serta seorang pesalah dewasa. – KOSMO! ONLINE