KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Kelantan merampas 157 kotak berisi lebih 1.5 juta batang rokok seludup bernilai RM1.1 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan, di sini dan Tumpat pada minggu lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 8.30 pagi pada Khamis lalu di Tumpat, sebelum berjaya merampas 115 kotak yang mengandungi 150,000 batang rokok seludup.
Menurutnya dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki dan tiga buah lori yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok-rokok seludup.
“Serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di Kota Bharu dan merampas sebanyak 42 kotak berisi 421,800 batang rokok seludup.
“Tiga orang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan. Selain itu, sebuah lori dan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, jumlah rampasan kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM138,398 dengan melibatkan cukai sebanyak lebih RM966,600. – KOSMO! ONLINE