REMBAU – Pemandu lori yang melanggar tembok pagar Masjid Kariah Kampung Kota, di sini, pagi semalam diminta tampil untuk berbincang dengan pihak masjid.
Bekas Bendahari Masjid Kariah Kampung Kota, Ismail Arshad, 66, berkata, kejadian berkenaan berlaku sebaik jemaah masjid pulang selepas selesai menunaikan solat subuh berjemaah.
Menurutnya, jemaah datang semula ke masjid sekitar pukul 6.45 pagi bagi menebas rumput dan terkejut apabila mendapati tembok pagar yang berusia lebih 10 tahun sudah roboh.
“Bila lihat dalam sistem televisyen litar tertutup (CCTV), kami dapati terdapat lori yang telah menyebabkan pagar ini roboh. Hingga kini, pemandu lori masih belum tampil meminta maaf atau memaklumkan ini adalah perbuatannya.
“Jangan bimbang, kita pun ada tolak ansur kerana kita tahu tiada siapa mahukan kejadian ini berlaku. Malah, pagar yang roboh ini juga boleh diperbaiki semula setelah membuat permohonan kepada jabatan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Kota, di sini, hari ini.
Kejadian itu dikongsikan penduduk dalam laman sosial komuniti setempat sejak malam tadi. – KOSMO! ONLINE