PARIS – Sebuah kapal penyelidik Perancis dilengkapi kapal selam robot kawalan jauh berupaya melakukan pencarian laut dalam tiba dekat bangkai Titanic hari ini untuk menyertai operasi besar-besaran mencari kapal selam Titan yang hilang.
Kapal Atalante tiba sekitar 2 kilometer ke selatan bangkai Titanic selepas pukul 4 petang (waktu Malaysia) ketika bekalan oksigen untuk lima penumpang Titan tinggal beberapa jam sahaja lagi.
Institut Penyelidikan Perancis untuk Penjelajahan Laut (IFREMER) berkata, kapal itu tiba selepas dikerahkan kelmarin.
Kapal itu membawa Victor 6000 yang merupakan kenderaan dasar laut kawalan jauh berupaya menyelam pada kedalaman 6 kilometer.
Bangkai kapal Titanic berada pada kedalaman sekitar 3.8 kilometer, menjadikannya sukar untuk sampai ke tempat kejadian.
Kapal selam pelancong, Titan memulakan selaman ke lokasi bangkai Titanic pagi Ahad lalu, namun terputus hubungan dengan kapal sokongan di permukaan laut dua jam kemudian.
Titan membawa bilionair Britain Hamish Harding, Taikun Pakistan Shahzada Dawood dan anak lelakinya Suleman, Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate Expeditions Stockton Rush serta pengendali kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet.
Berdasarkan kapasiti Titan menyimpan bekalan oksigen kecemasan selama 96 jam, pasukan penyelamat menganggarkan semua penumpang itu kehabisan udara hari ini. – AFP