Dahulu, ketika arwah ibu saya sedang sakit tenat, saya bernazar jika beliau dikembalikan sihat oleh Allah seperti sedia kala, saya akan menghantar kedua-dua ibu bapa saya pergi menunaikan haji. Alhamdulillah, beliau beransur pulih dan sihat seperti sedia kala. Setelah saya mendapat pekerjaan, saya pun mula membuat simpanan Tabung Haji dengan kedua-dua akaun ibu dan bapa saya. Urusan pendaftaran haji telah pun dilakukan. Namun, arwah ibu dan bapa saya telah dijemput kembali ke rahmatullah terlebih dahulu. Soalan saya, adakah kos haji untuk kedua-dua arwah ibu bapa saya wajib ditanggung oleh saya seorang?
Jawapan:
Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala pada istilah, nazar ditakrifkan sebagai:
“Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” (Rujuk Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 2, hlmn. 501)
Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan.
Kafarah pula pada istilah fiqh adalah perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.
Nazar yang dikenakan kafarah ialah nazar perbalahan iaitu bernazar semasa pergaduhan. Contohnya, seorang berkata ketika bergaduh: “Jika aku bercakap dengannya, wajiblah aku mengerjakan haji kerana Allah SWT.”
Tujuannya berkata demikian adalah untuk mengelakkan dirinya daripada bercakap dengan seseorang ketika perbalahan tersebut.
Jika dia bercakap dengannya, wajib ke atasnya satu daripada dua perkara sama ada melaksanakan nazar dan iltizamnya dengan menunaikan haji atau membayar kafarah melanggar sumpah.
Kafarah melanggar sumpah adalah dengan memerdekakan seorang hamba atau memberi makan kepada sepuluh orang miskin atau memberikan mereka pakaian.
Jika tidak dapat melaksanakan kesemua tersebut, hendaklah berpuasa tiga hari yang tidak disyaratkan berturut-turut.
Hukum badal haji bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia pula sebagaimana Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali ‘Imran: 97)
Pada dasarnya, syarat wajib haji terbahagi kepada lima perkara iaitu:
Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan. Mereka yang memenuhi kelima-lima syarat wajib haji ini, maka diwajibkan ke atasnya untuk mengerjakan ibadah haji.
Manakala bagi yang tidak dapat memenuhi salah satu atau kesemuanya, maka kewajipan haji ini terangkat daripada dirinya sehinggalah dia dapat memenuhi kesemua syarat di atas.
Dalam persoalan adakah wajib bagi para waris mengerjakan badal haji bagi ibu atau bapanya yang telah meninggal dunia tanpa sempat menunaikan haji?
Maka dalam hal ini, ada dinukilkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, di bawah tajuk sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mengerjakan kewajipan haji. Pengarang menyebut:
“Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang.
Oleh demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut.” (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, jld. 2, hlm. 176)
Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh sebab disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati.
Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya.
Kesimpulannya, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji, namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati kerana ia merupakan beban hutang buat si mati.
Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib mengerjakan haji bagi pihak si mati. Sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya atau orang asing lainnya.
Berdasarkan soalan yang diajukan, tuan wajib melaksanakan kafarah nazar seperti yang telah disebutkan di atas kerana nazar tidak dapat ditunaikan.