PARIS, Perancis – Persaingan perniagaan antara Mark Zuckerberg dan Elon Musk semakin sengit dengan dua taikun elektronik tersebut kini melontar cabaran untuk bertarung antara satu sama lain dalam kurungan besi.
Beberapa bulan selepas Musk mengambil alih Twitter, Zuckerberg memberi bayangan bahawa beliau merancang untuk melancarkan platform media berasaskan teks seperti Twitter.
Musk melakukan ‘troll’ terhadap Zuckerberg sejak itu dan terbaharu berkata: “Saya bersedia bertarung dalam sangkar jika dia setuju menerima cabaran saya” dalam nada jenaka.
Zuckerberg yang mengikuti trend bos teknologi menjadi sasa dan menyiarkan klip video seni mempertahankan diri membalas semalam dengan menyiarkan mesej di laman Instagram Story bersama mesej: “Hantar aku lokasinya”.
Syarikat milik Zuckerberg, Meta mengesahkan bahawa mesej tersebut adalah sahih.
Sementara itu, ramai netizen meramalkan Zuckerberg akan memenangi pertarungan dalam sangkar tersebut.
“Tuhan tolong, biarkan ini jadi kenyataan,” kata wartawan teknologi Taylor Lorenz dalam komen di laman Twitter. – AFP