fbpx

Murid tahun 6 hilang minat belajar, upah kawan siapkan tugasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Segelintir murid tahun enam dikatakan semakin hilang minat untuk belajar sejak peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dua tahun lalu.

Situasi tersebut jelas dilihat menerusi sikap ditunjukkan murid apabila ada yang berani mengupah rakan kelas untuk menyiapkan tugasan sekolah mereka.

Menerusi perkongsian seorang guru, Mohd. Fadli Mohamed Salleh di Facebooknya hari ini, dia memaklumkan tahap motivasi murid tahun enam ketika ini tidak seperti generasi sebelumnya.

Perkara itu turut menjadi keluhan dalam kalangan para pendidik yang lain.

“Li (Mohd. Fadli). Teruk wei (sekarang ini) merudum motivasi murid tahun enam. Tak macam dulu.

“Bagi kerja tak pernah nak buat. Jenis pailang (nakal), ada duit, suruh kawan salinkan kerja dia. Bagi upah atau ugut. Buat kelas tambahan tak datang. Marah lebih, tak datang sekolah.

“Beza jauh banding dulu zaman ada UPSR. Mereka ini memang tak nampak apa hala tuju mereka. Tak tahu apa nak jadi dengan generasi ini,” luah seorang rakan guru kepada Mohd. Fadli.

Sementara itu, Mohd. Fadli turut menyuarakan satu persoalan tentang salah siapa perubahan dalam sistem pendidikan ini berlaku sehingga menjejaskan minat murid sekolah untuk belajar.

“Entah siapa yang kacau dan buat perubahan tanpa teliti dengan cermat hingga sistem pendidikan kita hingga habis jadi makin caca marba sebegini rupa,” soalnya.

Seorang lagi guru, Shakira Ishak mendedahkan ada diantara murid kelasnya yang dengan sengaja ponteng sekolah disebabkan kurang minat untuk belajar.

“Saya guru tahun enam,guru kelas tahun 6, mereka datang sekolah ikut nak ke tak. Mujur lepas beri amaran pertama nampak perubahan.

“Kerja sekolah tak buat, kena duduk semak satu-satu buku baru nak buat. Belum lagi tengok buat karangan, murid UPSR dulu, kelas hujung pun boleh jawab karangan juga, ini ujian tak nak jawab,” kongsinya.

Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, ramai ibu bapa tampil meluahkan rasa bimbang dengan perkembangan anak-anak mereka apabila sikap membaca dan mengulang kaji pelajaran di ruamah semakin pudar.

“Cikgu, anak saya darjah dua beritahu pada saya nak mintak kerja dengan seorang YouTuber, kalau dulu masa zaman kita kecil impian nak masuk universiti, budak sekarang?,” luah Nur Zana.

“Zaman sekarang dengan gajetnya lagi, kemudian pergi sekolah tak ada UPSR, lagilah mereka (murid) selesa macam itu kan, setidaknya kalau ada major peperiksaan, otak itu boleh set awal-awal untuk bagi lebih fokus,” ujar Aiman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI