KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti penubuhan sebuah jawatankuasa atau pasukan khas yang bertujuan memantapkan penyelarasan pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), di negara ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Mosti turut menggerakkan inisiatif Ruang Daya Cipta (RDC) di daerah terpilih di seluruh negara yang sehingga kini telah menjangkau 15,000 penduduk luar bandar bagi menggalakkan penglibatan orang awam khususnya pelajar-pelajar sekolah dalam bidang berkenaan.
“Sehingga kini sebanyak 10 buah RDC telah dibangunkan, manakala pada tahun 2023 Mosti mensasarkan sebanyak 10 buah RDC lagi akan dibangunkan. RDC dilengkapi dengan kemudahan seperti makmal reka bentuk, makmal komputer, sudut inovasi, studio digital dan ruang latihan yang boleh digunakan secara percuma.
Usaha mempromosikan STEM di kalangan pelajar diteruskan dengan pelaksanaan National Science Challenge (NSC). NSC adalah pertandingan sains kebangsaan bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4 (13 hingga 16 tahun). Pada tahun 2022, NSC merekodkan penglibatan 11,685 pelajar daripada 412 sekolah dengan 70 buah sekolah adalah daripada luar bandar,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli mengenai pendekatan Mosti untuk merancakkan lagi minat pelajar sekolah dalam bidang STEM. – KOSMO! ONLINE