MEKAH – Salah satu perkara lucu yang sering menjadi bahan jenaka dalam kalangan jemaah haji ialah perkataan ‘melontar’ Riyal yang dikaitkan dengan pembelian cenderamata untuk kegunaan sendiri atau dihadiahkan kepada kenalan apabila pulang ke tanah air.
Pantang lihat jemaah membawa beg besar setiap kali menaiki lif naik ke bilik, mereka akan disapa dengan nada bergurau ‘wah, banyak melontar hari ini.’
Tiada siapa yang akan marah atau terasa dengan gurauan tersebut kerana ia sudah menjadi kelaziman setiap kali musim haji.
Perkataan ‘melontar’ Riyal diambil sempena perbuatan melontar di tiga jamarat bagi melengkapkan ibadat haji.
Salah satu lokasi ‘melontar’ Riyal popular ialah di Pasar Borong Ka’kiyah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Masjidilharam. Jemaah tanpa mengira kaum akan bertumpu di sini kerana ia ibarat syurga membeli-belah.
Pasar itu semakin sesak menjelang hari Wukuf apabila rata-rata jemaah mengambil peluang untuk memborong pelbagai cenderamata seperti sejadah, tasbih, minyak wangi, kopiah, jubah, abaya dan macam-macam lagi.
Kalau pandai memujuk, barang yang pada asalnya berharga 100 Riyal boleh dibeli dengan separuh harga.
Seorang peniaga cenderamata dikenali sebagai Mohsen, 40-an, berkata, mereka akan memujuk pelanggan untuk membeli pada awal bulan ini tetapi ketika jemaah semakin berpusu-pusu memasuki Mekah, dia tidak perlu lagi berbuat demikian.
“Ketika ini kami pula yang ‘jual mahal’. Jika harga yang diberikan tidak boleh memuaskan hati mereka, kami tidak peduli kerana ramai lagi yang akan datang dan beli.
“Berbeza pada awal bulan apabila kami perlu memujuk pelanggan yang enggan beli dengan harga diskaun kerana ketika itu pasar tidak ramai dan kami perlu membuat jualan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang pelanggan dari Pattani dikenali sebagai Ahmad, 50-an, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk ‘melontar’ Riyal sebelum tibanya hari wukuf agar tidak kalut mencari cenderamata untuk keluarga dan kenalannya selepas musim haji.
“Saya datang selepas mengetahuinya daripada jemaah lain. Hari ini saya beli sejadah dan beberapa barang lain dan bercadang untuk datang lagi selepas selesai haji,” katanya.
Katanya, dia kadang-kadang kasihan juga pada peniaga kerana pembeli membuat tawaran tidak masuk akal.
“Ada yang tawar harga 200 Riyal jadi sampai 50 atau 100. Kalau saya jadi peniaga pun saya tak mahu, buat rugi saja. Kalau hendak menawar, biarlah berpada-pada,” katanya sambil tertawa.
Jemaah Malaysia dari Sabah, Marin Alin, 65, berkata, pasar semakin sesak setiap hari tak kira masa menjelang hari wukuf.
“Saya datang tinjau barangan dan harganya. Nampaknya boleh kurang lagi dan buat masa sekarang Riyal saya masih ‘selamat’. Selepas wukuf mungkin akan dilontar ke laci dan poket peniaga di sini,” katanya berseloroh.
Apapun, kemeriahan haji semakin dirasai ketika ini apabila hampir tiga juta jemaah sudah mula tiba di Mekah dan yang pasti pertukaran Riyal dari tangan ke tangan semakin rancak.
Mesin pengeluaran wang automatik pula sentiasa panjang barisannya.