fbpx

Arsenal ‘Lelong’ empat pemain demi Rice

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NKETIAH juga terpaksa dilepaskan oleh Arsenal dalam usaha mereka meraih dana untuk mendapatkan khidmat Rice. – AFP

LONDON – Arsenal bersedia mendengar tawaran daripada mana-mana pasukan buat empat bintangnya termasuk Eddie Nketiah dalam usaha mereka membeli kapten West Ham United, Declan Rice pada jendela perpindahan pemain ketika ini.

Nketiah, 24, dinaikkan pangkat daripada Akademi Arsenal dan meledak 32 gol serta lima bantuan jaringan dalam 131 perlawanan bersama kelab itu, namun masih menjadi pilihan kedua di belakang Gabriel Jesus.

Biarpun masih mempunyai kontrak sehingga 2027, tetapi The Gunners dipercayai sudah bersedia melepaskan bekas kapten skuad bawah 20 tahun England itu jika menerima tawaran menarik selepas ini.

Nasib sama turut dialami seorang lagi penyerang, Folarin Balogun yang kini menjadi sasaran Inter Milan bagi menggantikan tempat Edin Dzeko selepas berhijrah menyertai Fenerbahce secara percuma semalam.

Pemain tengah, Thomas Partey sudah diberikan ‘lampu hijau’ untuk berunding dengan kelab-kelab dari Arab Saudi dan Itali, manakala Newcastle Uni­ted perlu membayar £30 juta (RM177.93 juta) jika mahu membeli bek kiri, Kieran Tierney.

Situasi itu disebabkan tawaran kedua Arsenal bernilai £75 juta (RM444.82 juta) terma­suk tambahan £15 juta (RM88.96 juta) buat Rice ditolak West Ham yang sebelum ini enggan melayan bidaan pertama mereka berjumlah £80 juta (RM474.47 juta).

Kini, skuad bimbingan Mikel Arteta itu tiada pilihan selain mengemukakan tawaran ketiga bernilai £90 juta (RM533.78 juta) termasuk bonus tambahan agar memastikan Rice tidak disambar kelab lain seperti Manchester City dan Chelsea.

Seandainya berjaya membeli Rice, barulah Arsenal akan membuat bidaan mendapatkan seorang lagi pemain te­ngah iaitu Romeo Lavia daripada Southampton yang dianggarkan bernilai £50 juta (RM296.55 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI