fbpx

KPT benar pelarian Rohingya lanjut pengajian ikut kelayakan, kuota terhad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED KHALED melukis pada kanvas karikatur ketika mengadakan lawatan ke Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hanya membenarkan pelarian Rohingya yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dipilih berdasarkan kelayakan dengan kuota yang terhad.

Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemasukan etnik Rohingya itu tidak akan dibuka sewenang-wenangnya dan tidak ada layanan istimewa diberikan kepada warganegara Myanmar terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan keputusan menerima mereka melanjutkan pelajaran di IPT awam di negeri ini.

“Tidak semua etnik Rohingya seperti yang kita lihat di luar, ada dalam kalangan mereka yang berkelayakan. Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya.

“Sekiranya dia (etnik Rohingya) berkelayakan, boleh bayar, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad. IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) memang terbuka.

“IPT ini bukan ambil semua (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Ini bukan macam berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI), di sini hari ini.

Mohamed Khaled mengulas tentang kegusaran masyarakat dengan langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi ke IPT tempatan dan dikatakan bakal mengancam kedaulatan negara.

Selasa lalu, Penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Emeritus Dr. Morshidi Sirat berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, masyarakat perlu memperbetulkan persepsi mereka terhadap isu peluang pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, masyarakat perlu ada rasa simpati pada mereka untuk mengubah kehidupan sekali gus membantu etniknya menjadi lebih baik.

“Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita dapat menjadikan mereka (Rohinya) manusia, takkan kita tiada sifat ehsan kepada mereka. Kita ini hendak jadikan dia berjaya kerana dia juga saudara Islam, dia kalau balik negara dia akan dibunuh.

“Kalau kita dapat lahirkan mereka yang berjaya, dia boleh betulkan masyarakat dia, kalau kita tidak mulakan, dia akan membiak dan menimbulkan masalah kepada kita. Kita bukan pergi ambil semua masuk universiti, hanya yang layak sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI