TANAH MERAH – Kes denggi di Kelantan meningkat sebanyak 251.7 peratus bermula Januari sehingga 17 Jun lalu berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, demam denggi yang dilaporkan pada tahun ini sebanyak 830 kes berbanding 236 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Katanya, satu kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi iaitu menurun daripada dua kematian dalam tempoh sama.
“Kes demam denggi dijangka akan terus meningkat apabila berlaku pergerakan orang ramai dari bandar-bandar besar yang sedang berdepan masalah peningkatan kes denggi terutamanya semasa musim Hari Raya Aidiladha dan Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
“Keadaan itu sekali gus berisiko menyebabkan penularan denggi di Kelantan. Keadaan hujan diselang-seli dengan cuaca panas yang berlaku sejak kebelakangan ini juga memudahkan nyamuk Aedes membiak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Sambutan Hari Denggi ASEAN, Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Masjid Iktikaf Manal Jaya 2, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE