JEMPOL – Seorang pemilik kedai emas di Bahau, di sini, kerugian kira-kira RM 1 juta selepas barangan kemas yang dipamerkan di premis perniagaan dipecah masuk, awal pagi tadi.
Kejadian berkenaan disedari pekerja kedai emas berkenaan yang ingin memulakan rutin operasi kedai emas tersebut kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Menurut pemilik kedai emas yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah, 40an, kejadian berkenaan baharu pertama kali berlaku membabitkan premis perniagaannya yang beroperasi kira-kira lapan tahun lalu.
“Menurut kata pekerja, semasa membuka premis ini, pekerja ada terbau benda hangit dan nampak keadaan dalam premis agak mencurigakan. Malah, pintu belakang yang tidak pernah terbuka juga terbuka.
“Bila dilihat, emas yang dipamerkan sudah banyak yang lesap. Pekerja segera menghubungi saya. Saya tak pasti berapa nilai barangan yang lesap kerana masih dalam siasatan dan menjangkakan sekitar RM 1 juta atau lebih,” katanya ketika ditemui di Bahau, di sini, hari ini.
Ujar Sarah yang sudah menceburkan diri dalam perniagaan emas sejak 13 tahun lalu bermula di platform atas talian, pada mulanya dia berasa sedih dan terkejut dengan kejadian tersebut kerana tidak pernah mengalaminya.
Difahamkan, selain kedai emas berkenaan, dua lagi premis kurier di Bahau, turut dipecah masuk.
Dalam pada itu, tinjauan di lokasi mendapati Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah hadir bagi membuat siasatan. – KOSMO! ONLINE