fbpx

K2

Ibadah korban orang sudah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAZHAB Syafie tidak membenarkan ibadah korban dilakukan untuk orang yang telah meninggal dunia. – Gambar hiasan

Bolehkah nama orang yang sudah meninggal dunia menyertai ibadah korban?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie, hukumnya tidak boleh melainkan jika ia telah diwasiatkan. Ini kerana, korban merupakan ibadah dan salah satu daripada prinsip ibadah adalah tidak dilakukan untuk orang lain melainkan jika adanya dalil.

Pendapat yang tidak muktamad dalam mazhab Syafie pula mengatakan bahawa korban ini termasuk dalam kategori bersedekah bagi orang yang telah meninggal dunia.

Maka dibolehkan walaupun tanpa wasiat dan ini dikatakan memberi manfaat kepada si mati. Sila rujuk kitab al-Muktamad oleh Sheikh Muhammad al-Zuhaili (2/490). Daripada Aisyah, seorang lelaki berjumpa Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah sesungguhnya ibuku mati secara mendadak tanpa sempat berwasiat, aku kira kalau beliau sempat berbicara (untuk wasiat) nescaya dia akan bersedekah, adakah baginya pahala kalau aku yang bersedekah bagi pihaknya? Kata Nabi SAW: Benar.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kesimpulannya, tidak diharuskan untuk melakukan ibadah korban dengan diniatkan atas nama si mati kecuali jika si mati telah berwasiat sebelum meninggal dunia supaya dilaksanakan ibadah korban untuk dirinya selepas kematian.

Namun begitu, adalah harus untuk waris si mati menghadiahkan pahala atau bersedekah pahala ibadah korban yang dilakukannya sendiri kepada si mati.
Iaitu diniatkan ibadah korban yang hendak dilakukan itu atas namanya sendiri kemudian disertai niat dan doa kepada si mati. Contoh niat:

“Lembu ini aku jadikan korban untuk diriku dan pahala daripada ibadah korban ini aku hadiahkan kepada almarhum (sebut nama)”.

Perbuatan tersebut merupakan ihsan orang masih hidup kepada si mati sebagaimana keharusannya yang telah disebutkan dalam hadis di atas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI