fbpx

Heung-min tak minat ke liga Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HEUNG-MIN menerima tawaran lumayan dari Al-Ittihad, namun menolaknya kerana mahu ke di saingan EPL. – AFP

LONDON – Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min me­negaskan, dia bukan mata duitan dan tidak berminat berkelana ke Arab Saudi kerana mempu­nyai tugasan yang belum selesai dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Heung-min, 30, kini dikaitkan dengan spekulasi perpindahan menyertai Al-Ittihad bagi membentuk gandingan mantap bersama pemenang Ballon d’Or 2022, Karim Benzema yang dibeli daripada Real Madrid awal bulan ini.

Difahamkan, Al-Ittihad mahu menawarkan £51 juta (RM302.48 juta) sebagai yuran perpindahan kepada Spurs selain gaji tahunan berjumlah £25.6 juta (RM151.83 juta) dengan kontrak empat tahun buat bintang Korea Selatan itu.

“Saya ada banyak perkara lagi mahu dilakukan dalam saingan EPL. Wang bukan perkara utama kerana saya lebih berbangga bermain bola sepak dalam liga ke­gemaran saya (EPL),” kata Heung-min.

Pengurus Al-Ittihad, Nuno Espirito Santo yang pernah mengendalikan Wolverhampton Wanderers dan Spurs sebelum ini, antara individu yang mahukan khidmat Heung-min.

Sebagai rekod, Heung-min telah meledak 145 gol dalam 372 perlawanan sepanjang lapan musimnya bersama Spurs sejak berhijrah daripada Bayer Le­verkusen dengan yuran perpindahan £22 juta (RM130.48 juta) pada 2015.

Dalam masa sama, Al-Ittihad selaku juara bertahan Liga Pro Arab Saudi akhirnya berjaya melengkapkan perpindahan bekas pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis iaitu bintang tengah Chelsea, N’Golo Kante semalam.

“Kehadiran Kante ke Al-Ittihad dianggap satu lagi pembe­lian berprofil tinggi dalam sejarah kelab ini. Ia sebahagian daripada usaha kelab untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pilihan utama para pemain bertaraf dunia meneruskan karier mereka,” menurut kenyataan Al-Ittihad.
– AGENSi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI