PENGENDALI Harimau Malaya Kim Pan-gon menuntut anak-anak buahnya agar tidak terbuai dengan mimpi indah selepas membelasah Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu kelmarin.
Pan-gon menegaskan, cabaran lebih getir bakal menanti skuad kebangsaan menjelang hujung tahun ini dan awal tahun depan dengan dua tugasan penting iaitu Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023.
“Bukan saya mahu meremehkan kemenangan 10-0 ke atas Papua New Guinea, namun ia cuma satu perlawanan dan kita perlu bersikap realistik.
“Kita bakal diuji lagi dengan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan sebelum memulakan aksi Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Harimau Malaya menamatkan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 dengan membelasah Papua New Guinea 10-0 yang dibantu empat gol Aiman Arif Hanapi serta hatrik Paulo Josue.
Turut muncul sebagai penjaring ialah Safawi Rasid, Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting dengan keputusan itu dijangka melonjakkan lagi kedudukan Malaysia ke ranking 136 dunia.
Pan-gon mengakui berpuas hati dengan prestasi positif ditampilkan Harimau Malaya sejak beliau mengambil alih kerusi panas pengemudi skuad kebangsaan pada Januari tahun lalu.
Begitupun, jauh di sudut hati jurulatih kelahiran Korea Selatan itu kekal bimbang dengan harapan tinggi melangit yang diletakkan ke atas Harimau Malaya ekoran peningkatan mendadak berkenaan.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedar perkara ini, saya katakan bahawa kami meningkat terlalu cepat termasuk ranking dunia dan ini sebenarnya bukan petanda baik.
“Dengan harapan menggunung menjelang dua kejohanan penting itu, Harimau Malaya boleh ‘karam’,” katanya.
Sehubungan itu, Pan-gon amat berharap peminat tegar Harimau Malaya tidak memberi harapan melambung tinggi, sebaliknya cuba memahami sasaran jangka pendek serta jangka panjang FAM.
Dalam perkembangan sama, Pan-gon mengakui gembira melihat persembahan anak-anak buahnya mencapai kemenangan antara terbesar pernah dilakar skuad kebangsaan dalam tempoh 60 tahun.
Katanya, corak permainan Harimau Malaya akan terus mengekalkan tempo pantas dan agresif selepas ini terutama sewaktu bertembung dengan pasukan gergasi dunia dan akan meneruskan ‘eksperimen’ bagi memastikan skuad mampu mengekalkan ‘DNA’ sama.