LONDON – Bekas pemain No. 2 dunia, Anett Kontaveit mengesahkan saingan bertaraf Grand Slam, Kejuaraan Wimbledon yang akan membuka tirai rasmi pada 3 Julai depan menjadi kejohanan terakhir yang bakal disertai sebelum bersara.
Atlet kelahiran Estonia berusia 27 tahun itu mengakui kecederaan berulang di bahagian belakang yang dialami sejak penghujung tahun lalu semakin parah dan perlu dibendung dengan cara tidak lagi bergelar pemain profesional.
Kata Kontaveit, selepas mendapat nasihat daripada pegawai perubatan, keputusan untuk ‘gantung raket’ terpaksa dibuat kerana bersaing dalam sukan tenis secara kompetitif tidak sesuai untuknya bagi jangka panjang.
“Saya telah mendapatkan khidmat konsultan daripada ramai doktor selain pegawai perubatan peribadi dan mereka sepakat menyatakan bahawa kecederaan di bahagian belakang saya agak serius.
“Situasi ini menyebabkan saya sukar untuk bergerak atau melakukan sesi latihan intensif bagi mengharungi kejohanan secara kompetitif. Selepas melakukan beberapa siri pemulihan, saya terima khabar tersebut dengan tangan terbuka.
“Kini, saya boleh katakan keputusan untuk bersara sepenuhnya telah pun dibuat dengan Kejuaraan Wimbledon bakal menjadi medan terakhir buat saya selaku pemain profesional. Saya harap dapat berikan yang terbaik di sana nanti,” katanya.
Kontaveit yang kini menduduki ranking ke-79 dunia telah bersaing pada dua kejohanan bertaraf Grand Slam pada tahun ini di Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tetapi tersingkir pada awal saingan. – AGENSI