WASHINGTON – Badan kawal selia Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa daging ayam yang dihasilkan di dalam makmal boleh dijual di restoran dan kedai di seluruh AS secara sah, lapor portal berita MailOnline.
Pengumuman tersebut menjadikan AS negara kedua meluluskan penjualan daging yang dihasilkan di makmal selepas Singapura yang melaksanakannya pada 2020.
Jabatan Pertanian AS memberi ‘lampu hijau’ untuk penjualan tersebut semalam, selepas menilai proses penghasilan dan pelabelan produk.
Syarikat-syarikat yang menghasilkan daging di makmal berkata, mereka telah mula menerima tempahan daripada restoran-restoran mewah di San Francisco dan Washington D.C., serta berharap bahan tersebut boleh dijual di kedai-kedai biasa menjelang 2028.
Daging yang dihasilkan di makmal sebelum ini telah menerima kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) yang mengesahkan ia dihasilkan dalam keadaan selamat dan sesuai untuk dimakan oleh manusia.
Daging yang dihasilkan di makmal dihasilkan dengan mengambil sebahagian kecil sel daripada ternakan seperti ayam atau lembu, sebelum ia ‘dibiakkan’ di dalam makmal.
Ia diproses di dalam bekas keluli besar dianggil bioreaktor yang menjadikannya kelihatan dan rasa sama seperti daging sebenar. – Agensi