PARIS, Perancis – Satu letupan kuat menggegarkan pusat bandar Paris kelmarin, menyebabkan 29 orang cedera termasuk empat mangsa dalam keadaan kritikal, lapor agensi berita United Press International.
Pihak berkuasa masih mencari sekurang-kurangnya dua mangsa yang dipercayai tertimbus di dalam runtuhan bangunan.
Letupan kuat itu menggegarkan kawasan berhampiran Rue Saint Jacques sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) dan meruntuhkan sebahagian bangunan yang menempatkan sekolah fesyen dan seni reka, Akademi Paris American, kata pegawai tempatan sambil menambah, api merebak ke beberapa bangunan berhampiran.
Meskipun pihak bomba belum mengesahkan punca letupan, Timbalan Datuk Bandar, Edouard Civel menyalahkan kebocoran gas sebagai punca kejadian.
Beberapa saksi berkata, mereka menghidu bau gas di lokasi kejadian sebelum letupan berlaku, manakala pendakwa raya awam telah mengarahkan siasatan dijalankan.
“Siasatan sedang dijalankan melibatkan pertuduhan berikut: melakukan kecederaan tidak disengajakan yang membahayakan nyawa orang lain,” kata pendakwa raya awam Paris, Laure Beccuau.
Selepas letupan berlaku, penduduk di kawasan sekitar tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Kira-kira 20 keluarga yang tinggal di bangunan terlibat dan dua bangunan berhampiran akan ditempatkan semula, demikian menurut seorang pegawai kepada akhbar Le Parisien. – Agensi