MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak mempunyai halangan, malah bersedia untuk menerima kemasukan pelajar etnik Rohingya sekiranya perkara itu mendapat persetujuan semua pihak.
Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pihak universiti akan mengambil kira pandangan ramai terlebih dahulu, khususnya golongan ibu bapa pelajar sebelum memutuskan perkara tersebut.
“Sekiranya undang-undang membenarkan, kami bersedia menerima mereka (pelajar Rohingya), namun ia mestilah mendapat persetujuan semua pihak termasuklah golongan ibu bapa pelajar tempatan.
“Kita tidak mahu menghukum mereka berdasarkan etnik tetapi dalam masa sama kita perlu menjaga sensitiviti kerana tidak mahu menimbulkan sebarang isu sensitif dan ini (kelayakan) perlu diserahkan kepada kepada budi bicara dan keprihatinan Timbalan Canselor yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 di Kampus Induk UTeM di sini yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, kementerian itu tiada halangan untuk pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan.
Katanya, keputusan itu tidak akan mengancam kedaulatan negara kerana Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun, tidak boleh lari daripada sifat manusiawi dan ihsan. – KOSMO! ONLINE