KUALA LUMPUR – Gesaan Ketua Pemuda Amanah bahagian Hulu Selangor menuntut salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada UMNO sama ada Hulu Bernam atau Batang Kali adalah hanya pandangan peribadi.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, perkara itu tidak mewakili kepimpinan tinggi kerana rundingan di peringkat jawatankuasa sudah selesai dilaksanakan.
“Kita dah selesai di peringkat jawatankuasa dan sudah dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi.
“Itu mungkin pandangan peribadi dia, kerana di peringkat Kerajaan Perpaduan, kita sudah ada formula untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Saya salah seorang yang terlibat dalam jawatankuasa perundingan, saya yakin bahawa perkara itu akan kita selesaikan melalui peringkat tertinggi Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Vibes 2.0 Go Live di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Amanah Bahagian Hulu Selangor menggesa pemimpin dalam gabungan kerajaan supaya bersikap adil dalam pembahagian kerusi pada PRN akan datang.
Ketua Pemuda bahagian itu, Abdul Mun’im Roslin menyatakan rasa tidak bersetuju dengan hasrat UMNO untuk bertanding di kerusi Hulu Bernam dan Batang Kali.
“Justeru kami menuntut supaya sekurang-kurangnya satu kerusi diberikan kepada Amanah Hulu Selangor sama ada DUN Hulu Bernam atau Batang Kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE