fbpx

Piala Asia B-17: Malaysia raih kemenangan moral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain negara meraikan kemenangan dengan menewaskan Laos 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi. - Foto ihsan FAM

PETALING JAYA – Skuad bawah 17 (B-17) negara mengakhiri kempen Piala Asia B-17 2023 dengan kemenangan selepas menewaskan Laos 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Thammasat, Bangkok sebentar tadi.

Pasukan muda kebangsaan yang dikendalikan oleh Osmera Omaro masih lagi mempertaruhkan kesebelasan terbaik meskipun perlawanan itu boleh dianggap sebagai pelengkap jadual selepas kedua-dua pasukan tidak boleh layak ke peringkat suku akhir.

Skuad remaja Harimau Malaya terlebih dahulu dikejutkan oleh negara serantau Asia Tenggara itu hasil ledakan pemain Laos, Sayfon Keonaham seawal minit ke-12.

Tersentak dengan jaringan tersebut, barisam pemain negara memperkemaskan jentera serangan dengan melakukan asakan ke atas kubu lawan.

Gol penyamaan yang dicari akhirnya tiba menerusi jaringan yang dilakukan oleh penyerang muda negara, Dainei Mat Disa pada minit ke-43.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan lebih berhati-hati tetapi dalam masa yang sama berusaha mencari ruang untuk memburu gol kemenangan.

Penantian skuad negara untuk meraih tiga mata penuh tiba apabila Dainei sekali lagi muncul wira untuk meledak gol kedua peribadi pada minit ke-78 dengan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan tuan rumah, Thailand muncul juara selepas menewaskan Yemen 1-0 pada satu lagi perlawanan hari ini.

Thailand dan Yemen layak ke peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada Ahad nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI