fbpx

K2

Pengaruh air punca tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN tanah runtuh boleh berlaku sekiranya terdapat pertambahan air dalam tanah. – Gambar hiasan

SATU kejadian tanah runtuh telah berlaku berhampiran pintu masuk Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 25 April lalu.

Hasil siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, kebocoran paip adalah punca kejadian tersebut.

Ia diburukkan lagi dengan hujan lebat sejak tiga hari sebelum kejadian.

Antara indikatornya adalah bil air akademi tersebut meningkat dan kewujudan takungan air pada kaki cerun sebelum kejadian tanah runtuh berlaku.

Jika dilihat dalam skala mikroskopik, tanah terdiri daripada partikel tanah dan ruang liang.

Ruang liang tanah ini mengandungi ruang kosong (udara) atau air.

Peratusan air dalam ruang ini mempengaruhi tahap ketepuan tanah. Apabila ruang liang ini dipenuhi air, tanah dikatakan tepu sepenuhnya.

Jika air bertambah ketika tanah sudah tepu sepenuhnya, tekanan air liang akan meningkat.

Tekanan ini perlu dilepaskan dari struktur cerun menerusi pelepasan secara terkawal.

Dengan mengalirkan lebihan tekanan air dari cerun melalui saliran yang betul, ia dapat memastikan keselamatan cerun terjaga.

CERUN direka bentuk secara kejuruteraannya berdasarkan nilai faktor keselamatan.

Inilah penyebab utama struktur penahan cerun perlu mempunyai lubang-lubang saliran air.

Lubang saliran ini perlu diselenggara dalam tempoh tertentu agar berfungsi dengan baik.

Jika tekanan air liang berlebihan ini tidak dilepaskan dan disalirkan jauh dari struktur cerun, ia akan meningkatkan risiko tanah runtuh.

Mekanisme ini akan berlaku secara perlahan seperti bom jangka, ia akan ‘meletup’ pada bila-bila masa.

Takungan air pada kaki cerun adalah tanda-tanda penting ‘serangan’ air yang sedang berlaku di dalam struktur cerun.

Apa pun, punca aliran air ini sama ada daripada kebocoran paip atau hujan berterusan, ia perlu dialirkan segera.

Cerun direka bentuk secara kejuruteraannya berdasarkan nilai faktor keselamatan.

Faktor keselamatan ialah nisbah daya rintangan terhadap daya penggerak kegagalan cerun.

Jika dua daya ini adalah sama iaitu faktor keselamatan bernilai satu, cerun tersebut berada diambang kegagalan.

Sedikit pertambahan daya penggerak seperti beban akan menyebabkan tanah runtuh berlaku.

Maka, faktor keselamatan perlulah bernilai jauh lebih dari satu agar pertambahan beban tidak meningkatkan risiko tanah runtuh.

Namun, sering kali faktor ekonomi juga perlu dipertimbangkan.

Jika daya rintangan jauh lebih besar daripada daya penggerak, faktor keselamatan akan meningkat, cerun dikatakan stabil dan tanah runtuh tidak akan berlaku.

Pertambahan air dalam tanah akan menyebabkan kekuatan tanah berkurang secara signifikan, sekali gus menyebabkan berat cerun meningkat.

Apabila kekuatan tanah berkurang, daya penahan juga akan berkurang, seterusnya mengurangkan faktor keselamatan.

Peningkatan berat cerun akan menambahkan beban, seterusnya meningkatkan daya penggerak yang akhirnya akan mengurangkan faktor keselamatan sekali lagi.

Apabila faktor keselamatan kurang daripada nilai satu, kegagalan cerun pasti akan berlaku. Cerun semula jadi atau buatan, cerun tambak atau potongan, faktor keselamatan perlu sentiasa lebih dari satu.

Secara keseluruhannya, air akan mempengaruhi cerun dalam pelbagai aspek teknikal.

Air dan cerun bukanlah sahabat yang baik. Ia perlu dipisahkan dengan segera dan pertemuan dua unsur ini perlu dielakkan dengan pengurusan aliran air yang baik.

Hujan tidak boleh dikawal, tetapi kita mampu mereka bentuk cerun dan saliran dengan baik.

Kebocoran paip juga tidak boleh dikawal, mungkin sudah tiba masanya untuk penyelenggaraan paip-paip bawah tanah terutama yang berusia melebihi 20 tahun di dalam struktur cerun.
Air sikit-sikit, lama-lama runtuh bukit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI