LUNDU – Seorang lelaki meninggal dunia selepas lori dipandunya bertembung dengan sebuah van di simpang Kelaoh, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari tadi, dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi.
Katanya setiba di lokasi mendapati mangsa tersepit di bahagian hadapan lori yang remuk manakala pemandu van berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pihak bomba.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Mangsa didapati telah meninggal di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya lelaki yang memandu van terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE