BERTEMAKAN Penyucian Jiwa, Kemuncak Ibadah, program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah kini menampilkan pendakwah selebriti, Ustaz Hariz Ismail atau PU Riz bergandingan bersama anggota UNIC, Fakhrul Radhi sebagai hos.
Seiring perkembangan semasa dunia digital, Yatt Hamzah menyerikan lagi rancangan tersebut dalam segmen Media Sosial di YouTube dan TikTok.
Memasuki musim ke-15, Salam Baitullah yang bersiaran langsung pada sejak 17 Jun lalu sehingga 30 Jun akan memberikan liputan dan maklumat terkini keadaan umat Islam di sekitar Tanah Suci Mekah.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman memaklumkan bahawa purata jumlah tontonan tahun lalu mencecah hampir sembilan juta sepanjang 15 episod bersiaran, RTM optimis angka itu bakal meningkat dengan pelbagai pembaharuan yang dilakukan.
“Kami sentiasa cuba berikan yang terbaik termasuk mengoptimumkan penggunaan media digital sebagai medium penyampaian info berkenaan ibadah haji yang dilakukan umat Islam pada setiap tahun.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/06/WhatsApp-Image-2023-06-20-at-16.56.18.jpeg)
“Jadi, dengan jumlah tontonan direkodkan sejak beberapa tahun lalu, RTM juga berjaya menarik minat penonton dalam kalangan generasi muda.
“Apa yang paling penting adalah bagaimana kami meletakkan RTM dengan jenamanya yang tersendiri.
“Pendekatan dan cara penceritaan yang diambil ketika ini juga perlu disesuaikan dengan keadaan semasa termasuk mengambil pendekatan seiring dengan teknologi semasa,” katanya.
Pemilihan pengacara
Bercakap tentang pemilihan hos musim baharu, Suhaimi menekankan kelebihan dan kemampuan hos untuk menarik minat penonton terutamanya golongan muda.
“Pengacara yang dipilih iaitu PU Riz, Fakhrul dan Yatt ternyata memang sangat tepat sebab saya sendiri sudah melihat keupayaan mereka yang memiliki potensi untuk menarik minat penonton dengan cara penyampaian tersendiri.
“Saya juga tidak ada sebarang perkara yang ingin dibangkitkan mengenai kredibiliti mereka sebagai pengacara kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.
Salam Baitullah musim ke-15 turut membariskan panel pendakwah terkemuka negara yang bakal memperincikan mengenai ibadah haji dalam setiap episod.
Untuk musim ini, RTM menghantar dua wakil produksi ke Mekah sebagai petugas media Tabung Haji iaitu wartawan, Mohd Faiz Shauqi Md Roziki dan Annaz Md Nor termasuk jurukamera, Mohammad Azrul Amir Hamzah dan juruteknik, Mod Rafiudin Mohd Nordin.
Pengisian Salam Baitullah musim ke-15 akan mengupas perjalanan ibadah haji bermula daripada persediaan awal hinggalah pada Hari Wukuf dengan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) dan lintas langsung perkembangan terbaharu jemaah haji di sana.
Program yang mula bersiaran untuk musim pertama pada 2009 itu akan disiarkan secara langsung sebanyak 15 episod menerusi saluran TV1, Berita RTM, 123 My TV dan RTMKlik.
Melihatkan trend semasa penonton media sosial ketika ini, Salam Baitullah turut disiarkan secara langsung di platform YouTube dan TikTok setiap hari pada pukul 8.20 malam.