KUALA LUMPUR – Kebajikan veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meliputi kesihatan dan pendidikan dijadikan keutamaan menerusi pembangunan sistem pangkalan data baharu iaitu Vibes 2.0 Go Live.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian kerana soal veteran bukan hanya melibatkan pencen, sebaliknya isu paling besar adalah kesihatan dan pendidikan anak-anak veteran.
“Sebab itu kita di Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), hari ini adalah salah satu kaedah yang kita buat iaitu pertemuan dengan semua persatuan-persatuan induk.
“Jadi semua isu-isu berbangkit berkaitan veteran kita bincangkan selain meningkatkan sistem maklumat kerana kita tahu kebajikan dan kesihatan banyak terkait dengan pangkalan data.
“Ia juga supaya maklumat yang kita terima itu tepat tentang kedudukan veteran sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Vibes 2.0 Go Live di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Mengulas mengenai gesaan yang dibuat Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor berhubung pelarasan pencen, Adly berkata, ia perlu dilihat secara keseluruhan.
“Isu penyelarasan pencen ini adalah isu untuk mereka yang bersara sebelum 2013 dan sudah berlanjutan selama lebih 10 tahun.
“Ia sebenarnya apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ketereh itu, dikala kerajaan Perikatan Nasional memimpin pun perkara itu tidak diselesaikan juga.
“Saya fikir kita harus lihat program jangka panjang bukan sahaja untuk veteran sedia ada tetapi kepada mereka yang akan bersara kelak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE