fbpx

Ibu tiga anak hidup susah, hilang pendapatan kupas jagung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maria menunjukkan buku rekod pembayaran jagung yang diterimanya dengan pendapatan minimum diperoleh RM200 sebulan sebelum ini dirumahnya di Taman Merdeka, Melaka.

MELAKA – Kehidupan seorang wanita bersama tiga anaknya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila kini hilang sumber pendapatan selepas pihak pembekal enggan menghantar bekalan jagung untuk dikupas kepadanya bermula Ahad lalu.

Maria Abdullah, 41, berkata, situasi itu berlaku selepas dia berpindah ke Rumah Pangsa Taman Merdeka di sini, bersama anak­nya yang berusia 8, 6 dan setahun sembilan bulan.

“Pembekal tidak sanggup menghantar bekalan kerana rumah kami di tingkat dua,” kata­nya ketika ditemui di sini.

Cerita Maria, kehidupannya dirundung malang selepas suaminya berusia 32 tahun warga Bangladesh ditahan pihak berkuasa dan telah dihantar pulang ke negara asalnya pada September tahun lalu.

Katanya, sejak itu, keluar­ganya hilang tempat bergantung sehingga dihalau keluar daripada rumah sewa di Taman Merdeka dekat sini Februari lalu.

“Saya terpaksa bawa anak-anak menumpang rumah rakan di Malim, di sini pun tidak lama kerana kediaman itu juga didiami oleh orang lain dan mereka tidak selesa dengan keberadaan kami empat beranak.

“Dengan bantuan rakan yang juga pembekal jagung, saya berpindah ke kawasan Taman Merdeka ini, namun anak saya pula dituduh mencuri, jadi kami sekali lagi terpaksa keluar sebelum dibantu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” jelasnya,

Tambahnya, MAIM telah menempatkannya sekeluarga di rumah pangsa berkenaan sejak Ahad lalu, namun dia kini berdepan dengan cabaran lain apabila sumber pendapatan yang diperoleh dari hasil upah mengupas jagung pula terjejas.

“Saya buta huruf dan hanya mengambil upah mengupas jagung untuk tampung keperluan keluarga dengan bayaran 90 sen satu kilogram.

“Bekalan ini datang tidak tentu masa, ada ketikanya ia sampai malam sehingga saya tidak tidur seharian kerana ingin men­yiapkannya.

“Paling sikit dapatlah RM200 sebulan dan paling banyak RM500, namun selepas berpindah ke sini, pembekal tidak sanggup menghantar ­bekalan kerana rumah kami di tingkat dua,” jelasnya.

Ujarnya, dia sebelum ini juga terpaksa mengikat perut dan sekadar meneguk air kopi demi memastikan anak-anaknya cukup makan serta sihat.

Katanya, anak sulungnya juga tidak bersekolah susulan masalah kewangan yang dihadapi dan hanya pernah dihantar ke tadika ketika berusia enam tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Maria di talian 016-702 4953.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI