fbpx

Dua penyamun diberkas kurang sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Dua lelaki diberkas dalam tempoh kurang sejam selepas dipercayai terlibat menyamun seorang wanita di hadapan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Silibin di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi itu, suspek telah melarikan beg tangan mangsa selain telefon bimbit, kad mesin juruwang automatik (ATM), wang tunai dan dokumen peribadi dengan anggaran kerugian berjumlah RM650.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki warga tempatan berusia 28 dan 32 tahun itu diberkas sekitar pukul 9 pagi di Jalan Kuala Kangsar.

Katanya, kedua-dua suspek itu berjaya ditangkap pada jarak 10 kilometer dari lokasi kejadian.

“Tangkapan terhadap suspek membawa kepada rampasan barang milik mangsa berusia 33 tahun itu selain kenderaan yang digunakan mereka dan hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain masing-masing memiliki 17 dan 11 rekod jenayah lampau,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya tujuh kes samun yang dilaporkan di sekitar Ipoh.

“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek ini akan dijalankan hari ini di Mahkamah Majistret Ipoh untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI