PORT DICKSON – Dua lelaki termasuk seorang bakal pengantin dijatuhi hukuman penjara sehari di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan merempit di Lebuh Raya Seremban Port Dickson (SPDH), Februari tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Danish Haikal Mohd Azli, 22, dan Mohamad Razman Jamaluddin, 22, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.
Majistret turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran tersebut dikenakan lapan bulan penjara.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung dua tahun.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, pada 1 Februari tahun lalu, kira-kira pukul 6.15 petang di kilometer 15.2, Lebuh Raya SPDH, sebagai penunggang motosikal telah menunggang kenderaan tersebut di atas jalan raya dalam keadaan merbahaya kepada diri sendiri dan orang awam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh, manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Danish Haikal dalam rayuannya memohon agar diberikan hukuman yang ringan memandangkan dia bakal bernikah tiga bulan lagi dan merayu Majistret tidak menggantung lesennya kerana perlu keluar bekerja. – KOSMO! ONLINE