LONDON – Arsenal dilaporkan perlu meningkatkan bidaan sebanyak £50 juta (RM296.87 juta) buat tonggak pertahanan Ajax, Jurrien Timber kerana tawaran pertama bernilai £30 juta (RM178.12 juta) hampir pasti ditolak.
Arteta, 41, memandang tinggi kebolehan pemain pertahanan versatil berusia 22 tahun itu yang boleh beraksi sebagai bek tengah, kanan dan juga sayap, sama seperti dilakukan Oleksandr Zinchenko di sebelah kiri.
Kem The Gunners berkeyakinan tinggi bahawa kedua-dua pihak mampu mencapai persetujuan walaupun Timber pernah menjadi sasaran Manchester United dan Liverpool sebelum ini.
Biarpun perlu meningkatkan tawaran tetapi ia bukan masalah buat Arsenal selepas dikatakan diberikan bajet sebanyak £180 juta (RM1.06 bilion) dan sedang berusaha mendapatkan Declan Rice (West Ham United) dan Kai Havertz (Chelsea).
Dalam masa sama, Arteta turut mempertimbangkan pemain tengah Southampton, Romeo Lavia sementara menunggu tawaran-tawaran dari Arab Saudi buat Thomas Partey dan Granit Xhaka pula bakal berhijrah ke Bayer Leverkusen.
Seandainya gagal mencapai kata sepakat dengan Timber dan Ajax, Arsenal akan beralih fokus mereka kepada pemain pertahanan RB Leipzig, Mohamed Simakan yang dianggarkan bernilai £30 juta (RM178.12 juta).
Bagaimanapun, naib juara Liga Perdana Inggeris itu lebih berminat dengan profil dimiliki Timber yang sudah bermain sebanyak 161 perlawanan bersama Ajax sejak 2020 selain mempunyai 15 kaps antarabangsa dengan Belanda. – AGENSI