PETALING JAYA – Perbicaraan kes penyanyi Radhi OAG yang didakwa memukul bekas isterinya Nur Shahira Ayu Zahiri memasuki episod baharu apabila kes itu akan diselesaikan secara baik di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ia berikutan Nur Shahira, 29, iaitu mangsa dalam kes itu mengambil keputusan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan kes yang lebih panjang.
Semasa prosiding hari ini, Nur Shahira yang sepatutnya disoal balas oleh pihak pembelaan Radhi pada perbicaraan hari kedua telah memaklumkan kepada mahkamah ingin menarik balik kes.
“Setelah berbincang dengan Radhi, saya ingin menarik balik kes di atas sebab-sebab tertentu. Salah satunya ingin menjimatkan masa mahkamah, saya faham pekerjaan Radhi…jadi saya hendak selesaikan kes secara baik,” katanya ketika berada di kandang saksi.
Mendengar perkara itu, Majistret Muhammad Iskandar Zainol kemudian bertanya kepada Nur Shahira adakah laporan polis menarik balik kes telah dibuat, Nur Shahira kemudian menjawab setakat ini tiada.
Majistret: Kamu faham dan jelas akan akibat sekiranya kamu tidak mahu meneruskan kes ini?
Nur Shahira: Ya saya faham.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes selain pada tarikh itu Nur Shahira perlu melampirkan laporan polis menarik balik kes.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee manakala Radhi diwakili peguam Haziq Aizuddin Subhi.
Pada prosiding sebelum ini, semasa pemeriksaan utama Nur Shahira memberitahu bahawa Radhi menjerit dengan kata-kata kesat sebelum berlaku pergaduhan di parkir sebuah kondominium di Damansara di sini tahun lalu.
Nur Shahira berkata, bekas suaminya itu memaki hamunnya dengan mengatakan ‘kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik” hanya kerana dia enggan berswafoto.
Saksi pendakwaan pertama tersebut memberitahu semuanya bermula apabila dia dan kakaknya mahu mengambil anak lelaki mereka di kondominium tersebut.
Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira Ayu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE