fbpx

Bekas isteri minta Radhi OAG bayar RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radhi OAG

PETALING JAYA – Bekas isteri Radhi OAG, Nur Shahira Ayu Zahiri meminta penyanyi itu membayar RM300,000 berikutan keputusan mereka mencapai persetujuan bagi menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Saya faham situasi Radhi, permintaan (RM300,000) untuk anak-anak dan Radhi sudah setuju dengan perkara itu. Selepas ini, kami akan buat ‘hitam putih’ (dokumen rasmi) untuk tandatangani (persetujuan).

“Sebenarnya Radhi nak beri RM5,000 dan RM500 sebulan, saya rasa tidak cukup untuk dua anak. Saya juga perlu bayar pinjaman kereta dan rumah, selain keperluan baju, makanan, vitamin, tuisyen dan sekolah anak,” katanya.

Sementara itu berhubung dengan tawaran rumah oleh Radhi, Nur Shahira mengesahkannya dengan permintaan supaya dia dan dua anak tinggal di rumah terbabit.

“Untuk apa (tawaran rumah)? Nak suruh dia (Radhi) datang ke? Saya pun ada beli rumah dan kereta sendiri. Saya sudah ada semua itu. Minta maaf nak cakap kalau boleh tak nak apa-apa, hanya untuk anak-anak saja. Saya pun sudah penat, benda ini (dipukul) banyak kali berlaku dan kali ini saya buka kes (lapor polis),” katanya.

Nur Shahira berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, perbicaraan kes Radhi yang didakwa memukul Nur Shahira memasuki episod baharu apabila kes itu akan diselesaikan secara baik di Mahkamah Majistret di sini.

Ia berikutan Nur Shahira iaitu mangsa dalam kes itu mengambil keputusan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan kes yang lebih panjang.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes selain pada tarikh itu Nur Shahira perlu melampirkan laporan polis menarik balik kes.

Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira Ayu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI