PETALING JAYA – Wan Muhammad Naail Wan Aslam atau dikenali sebagai Baby Naail yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1 selesai menerima suntikan ubat Zolgensma bernilai RM9.8 juta hari ini.
Berita itu dikongsikan oleh ibunya, Siti Norraihan Mohd. Amin menerusi Instagram raihanaminz hari ini.
“Alhamdulillah ya Allah, selesai semunya. Nanti kita ‘upload’ video Naail. Terima kasih tak terhingga atas doa daripada kalian selama ini. Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya.
“Asbab ubat ‘gene therapy’ ini, semoga Naail kembali sihat dan ‘progress’ semakin baik hari demi hari insya-Allah. Mudah-mudahan dengan izinNya,” katanya pada hantaran tersebut.
Dalam masa sama, dia turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Misi Rakyat.
Malah, dia turut memuat naik gambar terbaharu Naail selepas menerima suntikan tersebut pada InstaStory.
Sebelum ini, pelakon terkenal, Fattah Amin pernah berkongsi tentang masalah kesihatan anak saudaranya, Wan Muhammad Naail atau Naail yang menghidap penyakit jarang jumpa, SMA Type 1.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian Founder Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd. Azmi yang terkenal dengan kutipan awam bagi menjayakan misi bantuan tertentu dan bertindak membuka tabung untuk Naail sebagai inisiatif. – KOSMO! ONLINE