BARCELONA – Hasrat beberapa kelab ternama Eropah bagi mendapatkan khidmat penyerang Barcelona, Ansu Fati pada jendela perpindahan kali ini mungkin tidak terlaksana apabila dia menyatakan kemahuan untuk terus kekal.
Pemain berusia 20 tahun itu dianggap antara pemain muda terbaik di Eropah sejak melakukan debut pada 2019 selain membantu The Catalans merangkul tiga trofi termasuk satu gelaran La Liga dan Piala Raja Sepanyol.
Bagaimanapun, kedudukannya dalam pasukan dikatakan sudah tidak selamat memandangkan dia bukan lagi menjadi pilihan utama apabila hanya 14 kali diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini.
“Saya masih memiliki kontrak bersama Barcelona dan hasrat saya adalah untuk terus kekal dan berkembang di sini. Saya gembira di Barcelona, lebih-lebih lagi saya ada kontrak jangka panjang dengan pasukan,” katanya.
Difahamkan, beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk Manchester United, Chelsea dan Arsenal yang sedang memantau situasi Fati selain menunggu peluang untuk melakukan bidaan.
Meskipun Fati menyuarakan hasratnya untuk terus kekal bersama Barcelona, namun apa sahaja boleh berlaku memandangkan jendela perpindahan musim panas baru sahaja dibuka 14 Jun lalu.
Sejak melakukan debut bersama Barcelona, penyerang antarabangsa Sepanyol itu sudah menjaringkan 29 gol selain merekodkan 10 bantuan gol dalam 109 penampilan bersama Barcelona. – AGENSI