KUANTAN – Sebanyak 114,430 ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM3 juta dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dari tahun 2018 hingga 2022.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, rampasan dilakukan melibatkan serbuan ke atas 382 premis di seluruh negeri dalam tempoh berkenaan.
“Turut dirampas adalah peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.
“Rampasan tertinggi direkodkan ialah pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM1.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif Sahabat Ubat Pahang (Sobat) di sini hari ini.
Menurutnya Jabatan Kesihatan melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF Pahang) akan akan terus menjalankan pemantauan dan serbuan ke atas penjual-oenjual ubat tidak berdaftar di negeri ini.
Katanya, dalam serbuan terbaharu pada 12 Jun lalu pihaknya berjaya merampas pelbagai ubat tidak berdaftar dan komestik tidak bernotifikasi bernilai RM193,000 di Kuantan dan Temerloh.
Sementara itu katanya, Sobat Pahang adalah pusat sehenti untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan ke CPF Pahang serta mendapatkan maklumat berkenaan ubat berdaftar dan komestik bernotifikasi.
Beliau memberitahu Sobat Pahang dilengkapi dengan fungsi semakan status pendaftaran ubat dan notifikasi kosmetik di pautan yang disediakan.
“Masyarakat boleh menyemak ketulenan hologram di pautan Farmchecker, status kelulusan iklan ubat di pautan www.Pharmacy.gov.my/kkliu dan orang ramai boleh
menyalurkan maklumat aduan di pautan salurkan maklumat anda dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE