fbpx

10 kali seleweng diesel setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairi (tengah) pada sidang akhbar hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kegiatan satu sindiket menjadikan sebuah stesen minyak di Seksyen 22 di sini sebagai ‘lubuk’ bagi penyelewengan diesel subsidi sejak enam bulan lalu terbongkar apabila diserbu, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu berjaya menahan lima lelaki termasuk pekerja stesen minyak warga Bangladesh berusia 25 hingga 30 tahun.

Turut disita adalah tiga buah lori termasuk kontena yang telah diubahsuai selain 13,802 diesel berjumlah RM29,674.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, sebelum serbuan dilakukan didapati ketiga-tiga lori tersebut berulang kali melakukan pengisian di stesen itu selama dua jam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan pengisian menggunakan dua nozel pam dalam satu-satu masa.

“Minyak itu kemudiannya disalurkan ke tangki tambahan termasuk jenis fiber yang telah diubahsuai dalam lori atau kontena melalui pam penyedut.

“Lori berisi kontena itu contohnya telah mengisi 8,352 liter diesel daripada keseluruhan kapasiti kontena sebesar 20,000 liter,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati terdapat 16 transaksi pembayaran telah dilakukan sindiket itu dalam tempoh dua jam melakukan aktiviti tersebut.

Tambah Mohd. Khairi, siasatan awal juga mendapati modus operandi sindiket adalah membuat pengisian di stesen minyak sama secara berulang antara enam hingga 10 kali satu hari.

“Sindiket ini amat bergerak aktif bermula pukul 9 malam hingga 1 pagi dengan kesemua diesel subsidi itu dihantar ke stor penyimpanan sebelum dijual di pasaran gelap untuk industri serta penyeludupan ke luar negara.

“Hasil pemeriksaan lori-lori digunakan itu tidak mempunyai lesen dan permit bagi tujuan urusan barangan kawalan daripada KPDN,” katanya.

Justeru katanya, pihaknya kini mengesan pemilik lori tersebut bagi siasatan lanjut selain tidak menolak kemungkinan sindiket ini juga menjalankan aktiviti dengan stesen minyak di luar daerah ini.

“Kelima-lima suspek kini direman empat hari selain kita telah merakam percakapan pengurus stesen minyak tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 50 an untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI