PUTRAJAYA – Mohamad Afi Danial dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) muncul juara edisi sulung Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 yang berakhir di Putrajaya hari ini.
Pecutan penuh bertenaga pada peringkat terakhir perlumbaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi ke Putrajaya sejauh 90.3 kilometer (km) itu membabitkan seramai 51 pelumba.
Pelumba harapan UPNM yang menguasai jersi kuning selaku pendahulu sejak peringkat pertama perlumbaan dari Kolej Komuniti Segamat ke UTeM, Melaka, Sabtu lalu itu terpaksa berhempas pulas mengekalkan kayuhan bertenaga untuk muncul juara dengan masa satu jam 53 minit 20 saat.
Pelumba berasal Kota Tinggi, Johor itu turut merangkul tiga kejuaraan apabila dinobatkan selaku juara keseluruhan (Jersi Kuning), raja pecut (Jersi Hijau) dan pelumba terbaik bawah 21 tahun.
UPNM turut menyapu bersih semua gelaran termasuk Raja Bukit menerusi Ahmad Irfan Abdul Hamid.
Kehebatan gandingan Afi Danial, Ahmad Irfan dan Muhammad Iqbal Imran membolehkan UPNM muncul juara keseluruhan LTdIPT 2023 diikuti UiTM A muncul naib juara manakala UPSI di tempat ketiga.
Perlumbaan Jelajah Berbasikal kali pertama anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ini berlangsung sebanyak empat peringkat perlumbaan sejauh 332.7 kilometer.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT selaku Timbalan Pengerusi 1 Jawatankuasa Induk LTdIPT 2023, Datuk Dr. Pekan Ramli menganggap ia adalah suatu pencapaian yang luar biasa.
“Alhamdulillah, impian untuk menganjurkan jelajah ini terlaksana dengan jayanya. Banyak cabaran dan kerisauan tetapi semangat pelumba-pelumba basikal di IPT amat mengagumkan,” katanya.
Menariknya, majlis penyampaian hadiah kejohanan turut diadakan sekali dengan penyerahan insentif kecemerlangan sukan atlet IPT pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sejumlah RM64,000 telah disumbangkan kepada 31 atlet IPT yang berjaya memenangi 20 pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023.
Penerima insentif tertinggi menjadi milik atlet Universiti Putra MaIaysia (UPM), Tan Cheong Min berjumlah RM4,000 selepas meraih pingat emas berganda menerusi acara Nandao-Nangun Wanita dan Nanquan Wanita.
Insentif itu pastinya membakar semangat atlet-atlet IPT selepas ini akan meneruskan cabaran mereka pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 selama 12 hari di Chengdu, China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Antaranya ialah Khiew Hoe Yean (renang) dan Kimberly Bong (terjun); tiga atlet olahraga, Andre Anura Anuar, Grace Wong Xiu Mei, Umar Osman serta Muhammad Syafiq Zuber, Nurul Hidayah dan Jason Loo Jun Wei masing-masing daripada sukan taekwondo. – KOSMO! ONLINE