PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memperluas Program Duta Kenali Ubat Anda apabila melantik wakil dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai agen kesihatan komuniti.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu adalah usaha berterusan bagi memudahkan OKU penglihatan, pendengaran dan pertuturan mendapat maklumat tepat tentang ubat-ubatan dibekalkan KKM.
Beliau berkata, komitmen terbaharu KKM itu penting bagi memastikan semua masyarakat Malaysia mendapat hak dan informasi yang tepat dan sahih tentang kesihatan, terutama berkenaan penggunaan ubat secara rasional.
“Harapan saya, wakil masyarakat dari golongan OKU ini yang juga bertindak sebagai agen kesihatan komuniti akan turut membantu KKM dalam memberi maklumat dan mendidik komuniti OKU masing-masing.
“Justeru, kerjasama baik antara ahli farmasi dan Duta Kenali Ubat Anda OKU dapat merapatkan jurang antara profesional kesihatan dengan komuniti OKU,” katanya ketika berucap melancarkan Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Katanya, Program Duta Kenali Ubat Anda telah dilancarkan pada tahun 2012, bertujuan memperkasakan wakil masyarakat yang berpengaruh dalam menyampaikan maklumat asas berkaitan ubat-ubatan.
Dr. Zaliha berkata, sejak pelancarannya, bilangan duta yang dilatih telah meningkat daripada sejumlah 145 orang duta pada tahun 2012 kepada 1775 orang duta pada tahun 2022. – KOSMO! ONLINE