fbpx

PRN: Kerusi PH-BN muktamad selepas 6 DUN bubar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin ketika bercakap pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia edisi ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. -Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

KUALA LUMPUR – Agihan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan selepas pembubaran enam Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

Ia melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan yang dijangka dibubarkan pada hujung bulan ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, agihan kerusi sudah selesai sebanyak 95 peratus.

“Kita dah hampir selesai sebenarnya. Ada sedikit sahaja lagi dan mungkin akan diselesaikan selepas semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Saya yakin akan selesai dengan pengalaman kita dah banyak kali berunding,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia edisi ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kos sara hidup yang dijangka akan menjadi isu utama ketika kempen PRN, Salahuddin berkata, ia bukanlah suatu perkara yang membimbangkan bagi pihak Kerajaan Perpaduan.

“Ia memang suatu isu yang serius dan kerajaan sedang berusaha tangani masalah ini. Jadi, kita akan membina suatu naratif berdasarkan apa yang telah kita buat kerana saya tak mahu menjadi menteri yang berpura-pura.

“Ada sesetengah barang kita kawal dan berikan subsidi. Rakyat juga diberikan kefahaman bahawa ada beberapa barang, harganya terpulang kepada tawaran dan permintaan dalam pasaran,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pihaknya juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menampung beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Kerajaan sentiasa bersedia untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan bukannya seperti yang didakwa iaitu kerajaan langsung tidak mengawal isu kos sara hidup ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI