FILEM Ponniyin Selvan 2 (PS2) yang membariskan pelakon Bollywood dan Kollywood meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian sebagai Filem India Pertama Diedarkan Dalam Format Sinematik 4DX.
Naskhah arahan sutradara, Mani Ratnam yang membariskan Aishwarya Rai selaku bintang utama itu menyuntik kebanggaan berganda buat LYCA Productions, selain MSK Cinemas Sdn. Bhd. selaku pengedarnya.
Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, pengiktirafan MBOR itu memberi impak cukup bermakna sekali gus menyuntik pengalaman baharu buat peminat filem Tamil di negara ini.
“MSK Cinemas berterima kasih kepada Lyca Productions iaitu pengerusi, Subaskaran Allirajah dan pengarah filem ini Mani Ratnam atas pencapaian PS2 di Malaysia.
“Produksi Lyca Productions merupakan produksi terbesar di India yang banyak menerbitkan filem hebat dengan bajet tinggi.
“PS2 adalah cerita pertama dari India yang ditayangkan dalam format 4DX sekali gus merupakan filem India pertama di seluruh dunia yang ditayangkan dalam format sedemikian,” katanya.
Menurut Saradha, di Malaysia terdapat empat lokasi yang menyediakan tayangan 4DX iaitu di GSC IOI City Mall Putrajaya, GSC 1 Utama, GSC Mid Valley Southkey dan GSC Paradigm di Johor Bahru.
Menurutnya, pengalaman menonton dalam format 4DX mencetuskan kesan mengujakan seumpama membawa penonton menaiki ‘rollercoaster’ sambil menikmati bunyi audio sekeliling, kerusi bergerak, ada efek seperti air dan asap.
“Daripada respons penonton PS2 sendiri, mereka sangat suka tonton filem ini dalam format 4DX sebab perasaannya sangat berbeza dengan menonton filem lain di pawagam,” ulasnya.
Menurut Saradha, MSK Cinemas bakal membawa lebih banyak filem dalam format sedemikian selepas ini bagi memberi kepuasan kepada kaki wayang.
Terdahulu, filem PS2 berjaya mencatat kejayaan dengan kutipan ‘pecah panggung’ melebihi angka RM9 juta.
Pada masa sama, pencapaian filem menggunakan format 4DX turut menyuntik ilham kepada Saradha dan suaminya untuk menerbitkan sebuah filem Melayu yang boleh ditonton semua golongan dan bangsa.
“Sebenarnya pelaburan sesebuah filem untuk dibuat dalam format 4DX suatu yang berbaloi meskipun harga tiket dua kali ganda kerana dijangka dapat memberi pulangan semula jika dapat ditayangkan selama sebulan.
“Saya berharap suatu hari nanti Malaysia dapat menerbitkan filem Melayu atau filem tempatan seperti filem aksi dalam format 4DX,” ujarnya.