GEORGE TOWN – Peniaga asal Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah di sini memohon kerajaan negeri menyemak semula kadar sewa baharu RM900 yang akan dikenakan mereka dalam tempoh terdekat.
Kompleks itu yang terbakar kira-kira tiga tahun lalu telah siap dibina semula oleh kerajaan negeri dengan kos bernilai RM3.49 juta dan dijangka beroperasi semula pada tahun ini.
Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah, Mat Adenan Abd Aziz berkata, sebanyak 33 peniaga asal kompleks itu tidak mempunyai pendapatan tetap selepas medan selera itu terbakar pada November 2020.
“Kami dimaklumkan perlu membayar sewa RM900 sebulan di unit gerai baharu di kompleks tersebut, sebelum ini kami hanya perlu membayar RM36 sebulan sahaja.
“Kami kesal kerana kadar sewa telah dinaikkan sebanyak 2,500 peratus oleh syarikat swasta yang dilantik oleh Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) untuk menguruskan kompleks berkenaan yang sebelum ini diuruskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kenaikan kadar sewa itu kepada wakil Ketua Menteri di Komtar, di sini hari ini.
Dalam kejadian 7 November 2020, medan selera itu yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran namun, tiada mangsa terlibat.
Susulan kejadian itu, kerajaan negeri membangunkan semula medan selera itu dan ia menjadi medan selera awam yang mempunyai perakuan indeks bangunan hijau (GBI) pertama di Pulau Pinang.
Menurutnya, para peniaga meminta kerajaan negeri menurunkan kadar sewa sehingga RM300 sebulan bagi mengurangkan beban peniaga.
“Kadar sewa RM900 terlalu tinggi, kami tidak mampu membayar kadar berkenaan setiap bulan kerana kami baharu sahaja mahu memulakan perniagaan.
“Kami berharap kerajaan negeri akan mendengar rayuan kami dan membantu para peniaga dengan menurunkan kadar sewa bulanan di kompleks makanan ini,” katanya.
Jelasnya, para peniaga asal juga meminta kerajaan negeri untuk menilai semula tindakan CMI yang melantik syarikat swasta menguruskan kompleks berkenaan.
“Kami mendesak CMI agar tidak melihat medan selera ini sebagai alat untuk CMI meraih keuntungan semata-mata kerana medan selera ini adalah medan selera mesra rakyat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE