KUALA LUMPUR – Tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), meningkat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, ia juga dapat dilihat melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.
“Sangat meningkat malah keputusan Sijil SPM baru-baru ini juga menunjukkan prestasi cukup cemerlang dalam penguasaan bahasa Melayu.
“Peningkatan ketara dan kami harap prestasi ini dapat dipertingkat dari masa ke masa,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, di Pusat Konvensyen HGH, di sini, hari ini.
Program yang dianjur dan ditaja sepenuhnya oleh Majlis Bahasa Cina Malaysia itu melibatkan seramai 200 orang guru daripada 57 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 40 buah sekolah di dua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor (PPD Petaling Utama dan PPD Petaling Perdana).
Menerusi program tersebut, Fadhlina berkata, ia adalah komitmen besar Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua rakan strategik untuk memastikan pemerkasaan bahasa Melayu terus diperkukuh.
“Program yang sangat baik dan memberi impak kepada komitmen kita terhadap pemerkasaan bahasa Melayu.
“Antara komitmen yang akan diberikan adalah program seperti ini akan dilaksanakan setiap empat bulan untuk memastikan proses pembugaran bahasa Melayu ini seiring dengan perkembangan anak murid.
“Saya minta cabaran itu dikembalikan dengan melihat kepada ‘output’ nanti adalah perkembangan dan pengukuhan bahasa Melayu kanak-kanak ini selepas empat bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE